Calon SPM Ditahan Sedang Leka Bungkus Pelbagai Jenis Dadah

KetSupt Mohd Zamri Mohd Rowi (tengah) dalam sidang media mengenai rampasan dadah membabitkan 23.6 gram dadah jenis heroin, 1,370 biji pil kuda dan 52 bungkus air ketum bernilai RM23,450 serbuan yang dibuat di tiga tempatan secara berasingan sekitar Besut. -foto: BERNAMA
BESUT - Seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terpaksa menyelesaikan peperiksaan SPM di dalam lokap bila dia dikenakan tahanan reman tujuh hari kerana terlibat dalam kes dadah.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Mohd Zamri Mohd Rowi berkata pelajar itu ditahan di Jerteh Rabu lepas ketika sedang asyik membungkus pelbagai jenis dadah, dianggarkan berjumlah RM23,450 di sebuah rumah tidak bernombor.

Mohd Zamri berkata pelajar itu ditahan di sebuah rumah tanpa nombor kira-kira jam 7.15 petang ketika berseorangan dalam sebuah bilik.

Suspek terkejut apabila melihat kehadiran polis dan dilihat telah mencampakkan sebuah bungkusan melalui jendela sebelum ditahan, kata Mohd Zamri dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kampung Raja di sini, Ahad.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap bungkusan yang dibuang itu polis menemui 130 biji pil kuda dan beberapa peket dadah lagi dalam sebuah mesin kelapa.

Pelajar berkenaan direman mulai tarikh ia ditahan.

Dalam pada itu, empat suspek lagi ditahan di pelbagai tempat termasuk di dalam sebuah kereta dan di rumah, pada 16, 17 dan 18 November.

Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com