Caj RC Dijangka Bakal Dikuatkuasa Di Sempadan Malaysia - Thai Hujung 2017


ALOR SETAR - Pihak Kerajaan dijangka bakal menguatkuasakan caj kenderaan (RC) yang keluar masuk di sempadan Malaysia - Thailand selewat-lewatnya pada hujung tahun 2017 nanti kata Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Ab Aziz Kaprawi.

Jelas beliau, penguatkuasaan RC di sempadan Malaysia - Thailand itu berkemungkinan hanya akan dikuatkuasakan selepas sistem yang beroperasi di sempadan Tambak Johor dan Link Kedua berjalan lancar.

"Kita akan bagi tumpuan di Semenanjung (Malaysia) dulu iaitu sempadan Singapura dan sempadan Thailand.

"Kita jangka (akan melaksanakan sistem RC di sempadan Malaysia - Thailand) pada penghujung tahun depan, ia masih dalam perancangan.. belum ada ketetapan," katanya dalam satu kenyataan, semalam.


Jelas Timbalan Menteri itu, penguatkuasaan RC tersebut adalah bertujuan untuk meningkatkan kawalan keselamatan di setiap pintu masuk negara selain bagi menyelaras sistem berkenaan secara menyeluruh, serta mengekang jenayah rentas sempadan.

"Ini juga untuk mengawal banyak kegiatan jenayah seperti klon kereta, sebelum ini semua kereta masuk di Malaysia tidak mempunyai rekod yang standard.

"Jadi sekarang dengan adanya sistem komputer ini, kita akan memiliki rekod yang berintegrasi bagi semua kenderaan yang masuk ke Malaysia," katanya mengulas lanjut.

Tinjauan Kedahnews.com di sempadan Bukit Kayu Hitam baru-baru ini mengenai rancangan menguatkuasakan RC di pintu masuk sempadan berkenaan mencetus resah di kalangan rakyat Thai yang sering keluar masuk ke negara ini.

Difahamkan tiada sebarang caj kenderaan dikenakan kepada kenderaan asing yang masuk dari pintu sempadan berkenaan sebelum ini, namun kenderaan Malaysia yang masuk ke negara Gajah Putih itu perlu membeli insurans kenderaan untuk masuk ke negara berkenaan bagi tempoh tertentu.

Walau bagaimanapun, tidak ada sebarang caj terhadap kenderaan dan pengguna hanya perlu mengisi borang keluar masuk kenderaan sebagai rekod.

Pada 1 November lalu, pihak kerajaan menguatkuasakan RC di pintu sempadan Johor - Singapura bagi semua kenderaan bernombor pendaftaran asing yang masuk ke Malaysia dikenakan caj sebanyak RM20.

Ab Aziz berkata, rakyat Singapura menyambut baik perlaksanaan sistem RC yang dikuatkuasakan di Tambak Johor itu sehingga kini dan dijangka tidak akan menimbulkan sebarang masalah ekoran negara jiran itu juga sudah lama mengenakan caj kepada kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia yang masuk ke negara republik itu.

Difahamkan bahawa Singapura mengenakan caj Permit Kenderaan Masuk (VEP) sebanyak S$4 (RM9.40) sehari untuk motosikal dan S$20 (RM44.80) sehari untuk setiap kenderaan bernombor pendaftaran Malaysia bagi kategori kereta dan van yang masuk ke Singapura. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com