Cadangan Gantung Sekolah Pelajar Buli Dapat Respons Positif


ALOR SETAR – Cadangan Kementerian Pendidikan yang mahu menggantung persekolahan pesalah kes buli di sekolah setakat ini mendapat respons positif daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa dan guru.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid bagaimanapun berkata, pihaknya masih lagi mendapatkan respons daripada pihak berkepentingan mengenai isu itu selain turut mengarahkan pengurusan tertinggi kementerian untuk melihat kaedah menggantung persekolahan pelajar yang terlibat dalam kes buli.

“Peraturan displin sekolah telah lama wujud. Kita buat ubah suai serta tambah nilai dan terbaru sekali saya minta pihak pengurusan tertinggi kementerian melihat kaedah menggantung pelajar terlibat buli ini.

“Sememangnya kita boleh gantung pelajar pada tahun yang sama apabila kes itu berlaku, contohnya kalau dia pelajar Tingkatan 5 dan kes buli berlaku pada Mei dan didapati bersalah, pelajar itu boleh digantung pada tahun sama dan dia tidak boleh mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penyampaian Anugerah Sambutan Hari Koperasi Sekolah dan Konvensyen Pembudayaan Keusahawanan Koperasi Sekolah Terbaik Peringkat Kebangsaan di sini, Sabtu.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan mencadangkan agar pelajar yang membuli pelajar lain digantung persekolahan selama setahun dan tindakan tegas itu perlu dikenakan sebagai pengajaran terhadap pelajar. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com