Buru Kekayaan Hingga Sanggup Jadi Pembunuh Upahan

Faridon (tiga, kiri) meraikan keluarga penghuni penjara dalam Majlis Jalinan Kasih Sempena Deepavali di Penjara Pokok Sena.
POKOK SENA - Demi memburu kemewahan, seorang lelaki  dari Sungai Petani, di sini, sanggup bekerja sebagai pembunuh upahan tanpa memikirkan risiko yang bakal dihadapi.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Linggam berkata, dia sudah meringkuk dalam penjara kira-kira 21 tahun.

Menurutnya, keinginan untuk menjadi kaya membuatkan dia memilih pekerjaan sebagai pembunuh upahan yang menawarkan pendapatan lumayan.

"Kekurangan didikan agama juga turut memerangkap diri saya dalam melakukan pekerjaan terkutuk itu hinggalah berjaya diberkas oleh polis.

“Walaupun keluarga pernah menasihatkan tetapi sikap sombong dan hanya mementingkan hiburan bersama-sama rakan membuatkan saya lupa asal usul keluarga serta abaikan nasihat mereka,” katanya ketika ditemui dalam Program Jalinan Kasih Sempena Deepavali Peringkat Penghuni Penara Pokok Sena kelmarin.

Menurut Linggam, selepas dimasukkan ke penjara pada 1995, barulah dia mengenali dirinya dan sangat berterima kasih kepada pihak Jabatan Penjara yang mendidiknya menjadi insan yang mempunyai maruah dan pendidikan agama.

“Melalui Program Pembangunan Insan (PPI) ini saya dalami agama Hindu, malah pada hari ini saya turut mengajar rakan dari kalangan orang India supaya mendekati agama untuk melahirkan insan yang berguna.

“Di sini saya banyak mendapat motivasi dari Bahagian Pemulihan dan Rawatan yang membimbing dan memberi kesedaran supaya kesal dengan tindakan saya selama ini. Perbuatan pertama kali itu cukup memberi pengajaran kepada saya supaya tidak menghabiskan hayat dengan kerja tidak faedah itu,” katanya yang menghadapi hukuman sepanjang hayat.

Bagi Ramesh, dari Kulim pula, dia sangat gembira dapat berjumpa kali kedua bersama dengan keluarganya itu sempena Deepavali ini.

“Semenjak  dipenjarakan di sini selama 12 tahun, sikap saya sudah banyak berubah dengan menyertai pelbagai kursus serta mendapat bimbingan kaunseling dari Penjara Pokok Sena.

"Saya sangat menyesal dengan perbuatan lalu dengan mengikut rakan-rakan hingga terjebak dalam kes pembunuhan  seterusnya dibawa di dalam tembok batu ini. Dahulunya saya banyak mengikut perasaan setiap kali tindakan diambil dan kini mulai insaf atas segala perbuatan yang dilakukan,” katanya yang dipenjarakan selama 16 tahun kerana kes bunuh.

Program Jalinan Kasih sempena Deepavali yang merupakan acara tahunan itu dirasmikan Timbalan Pengarah, TKPj Faridon Mat Saad.

Sementara itu, Timbalan Penguasa Penjara Pokok Sena, Abd Ghani Md Isa berkata, tujuan majlis itu diadakan ialah untuk merapatkan hubungan penghuni di penjara ini dengan keluarga mereka.

Katanya, keluarga juga memainkan peranan utama dalam memulihkan kehidupan mereka selepas melakukan kesalahan pada masa lalu.

"Kedatangan keluarga ini secara tidak langsung menunjukkan banduan di sini masih diterima oleh keluarga mereka," katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com