Biar Cacat Kaki Dan Tangan, Tetap Bercita-cita Jadi Hafiz

Mohammad Ammar sedang menduduki peperiksaan Kertas Bahasa Melayu
SUNGAI PETANI – Biarpun cacat kedua kaki dan tangan, calon berkeperluan khas (CBP) Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Mohammad Ammar Ikhwan Saad, 17, tetap bersemangat tinggi dan mengambil peperiksaan bersama rakan normal lain.

Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Akademi Islam Haji Abdullah Suboh, Kota Kuala Muda itu menduduki sembilan mata pelajaran dalam SPM yang bermula serentak seluruh negara, semalam.

Selain lima subjek asas, dia turut menduduki peperiksaan bagi subjek Bahasa Arab, Perdagangan, Quran dan Sunnah dan Syariah Islamiah.

Mohammad Ammar mengimpikan menjadi tahfiz kerana minat terlalu mendalam dalam bidang syariah, Bahasa Arab dan Quran Sunnah.

Anak kedua dari empat beradik ini berkata, dia pernah belajar di sekolah tahfiz di Tikam Batu dan masuk ke sekolah itu semasa tingkatan tiga, seterusnya berhasrat menyambung pengajian dalam bidang tahfiz selepas tamat SPM.

Walaupun cacat di jari tangan dan kaki, namun Ammar dilihat mahu berdikari dan enggan menggunakan bantuan yang disediakan kerana menjelaskan sudah terbiasa menulis sendiri sejak kecil.

“Saya boleh tulis sendiri dan sedaya-upaya nak ambil periksa sendiri sama seperti rakan normal yang lain,” katanya ketika ditemui selepas selesai menduduki Kertas Bahasa Melayu di sekolah, semalam.

Sementara itu, Pengetua, Shahidah Shahabuddin berkata, Mohammad Ammar Ikhwan merupakan seorang yang berjiwa besar, bersemangat tinggi dan pandai berdikari.

“Dalam keadaan serba kekurangan, namun tulisan jawi dan Arab yang ditulis sangat cantik dan kemas. Dia juga mahu berdikari sama seperti rakan yang lain biarpun merupakan calon CBP pertama SPM sekolah ini sejak ia dibuka sejak 2009.

“Untuk keselesaannya, pihak sekolah bersedia memberi kemudahan terbaik untuknya sepanjang peperiksaan SPM tahun ini,” katanya.

Difahamkan, seramai 10 calon lelaki dan 12 calon perempuan menduduki peperiksaan SPM di sekolah itu tahun ini di mana jumlah keseluruhan pelajar berdaftar ialah seramai 175 orang.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com