Biadap Pada Sultan Johor, Gapema Desak Syed Saddiq Mohon Maaf


JOHOR BAHRU – Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman didesak sebuah badan bukan kerajaan untuk segera memohon maaf secara terbuka.

Ia berhubung kenyataan biadabnya didakwa tidak menghormati titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang melarang sebarang perhimpunan jalanan haram daripada diadakan di negeri tersebut pada bulan ini.

Desakan Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia (Gapema) Johor itu juga mahukan Syed Saddiq memohon maaf kepada rakyat negeri ini selain menasihatkannya ‘belajar’ sejarah Johor dan ikrar taat setia Bangsa Johor.

“Sebagai rakyat Johor, kita perlu faham dan jelas konsep Bangsa Johor yang lebih menekankan permuafakatan, kesepakatan dan amalan saling hormat-menghormati antara satu sama lain dalam apa jua bidang.

“Kenyataan biadap beliau seolah-olah ingin ajar baginda dan memperlihatkan Sultan Ibrahim tidak tahu langsung perundangan dan peraturan negara,” ujar Pengerusi Gapema Johor, Muhammad Suwarno dalam satu kenyataan.

Beliau mengulas Syed Saddiq dalam satu kenyataan semalam mendakwa, hak untuk berdemonstrasi tanpa permit itu konon adalah hak asasi setiap warganegara Malaysia mengikut Artikel 10 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ketua sayap parti pembangkang itu juga mendakwa demonstrasi diiktiraf undang-undang antarabangsa iaitu Artikel 20(1) Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat dan Artikel 21 Waad Antarabangsa Mengenai Hak Awam dan Politik.

Syed Saddiq merujuk Himpunan Bangsa Johor di Pasir Gudang, dekat sini apabila Sultan Johor dalam titahnya menegaskan tidak sesekali membenarkan mana-mana pihak menganjurkan sebarang demonstrasi di negeri ini.

Sultan Ibrahim bahkan menyeru rakyat agar menjauhi sebuah parti baharu yang dianggap sebagai virus dalam usaha memecahbelahkan perpaduan penduduk negeri itu dengan hasutan jahat untuk membenci kerajaan.

Baginda turut menyelar seorang pemimpin terkenal yang diibaratkan seumpama kacang lupakan kulit apabila tamak menghapuskan kuasa raja-raja Melayu dengan melakukan pindaan perlembagaan persekutuan pada 1994 lalu.

Titah Sultan Johor itu meskipun tidak menyatakan dengan terbuka namun ia jelas merujuk kepada demonstrasi haram Bersih 5 pada 19 November ini yang didalangi kumpulan propembangkang untuk menggulingkan kerajaan.

Manakala parti disebut baginda itu dapat difahami sebagai PPBM manakala pemimpin dirujuk berkenaan ialah pengerusi parti tersebut, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri. – Agensi

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com