Beruang Matahari Mengamuk Di Sabah, Serang Lelaki


KOTA KINABALU - Seekor beruang matahari yang dikurung secara haram di daerah Kota Belud menyerang seorang lelaki selepas melarikan diri dari sangkar minggu lepas.

Walau bagaimanapun kecederaan yang dialami mangsa tidak serius kerana beruang betina itu masih muda.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga berkata, pemilik haiwan itu yang berusia 37 tahun dan beberapa lelaki cuba untuk menangkap semula beruang tersebut tetapi ia menyerang salah seorang daripada mereka sebelum melarikan diri ke dalam hutan berhampiran.

Pemilik membuat laporan kepada Jabatan Bomba pada Khamis.

Pegawai hidupan liar telah dimaklumkan mengenai perkara itu kerana bimbang beruang tersebut akan bertindak ganas jika ia berasa terancam.

"Beruang itu berjaya dikesan pada Sabtu dan renjer hidupan liar menembak ubat penenang sebelum haiwan itu sekali lagi hilang daripada penglihatan kerana cuaca semakin gelap," kata Augustine.

Beliau berkata mereka akhirnya menemui beruang itu pada petang Isnin di hutan berhampiran tidak jauh dari Kampung Kuala Abai iaitu lokasi ia dikurung.

Pemilik dipercayai mengurung spesies yang dilindungi sepenuhnya itu dalam sangkar besi di belakang rumahnya sejak tahun lalu.

Kes itu disiasat di bawah Enakmen Hidupan Liar yang membawa hukuman denda minimum RM50,000 dan hukuman penjara satu tahun mandatori.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com