Berdasar Bukti, Tiada Kaitan Dengan Politik - KPN


SEPANG – Penahanan Pengerusi Bersih Maria Chin Abdullah di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012 dibuat berdasarkan bukti dan tiada kaitan dengan politik, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata penahanan itu dilakukan berdasarkan dokumen yang ditemui dipejabat Maria yang dilihat cuba menggugat demokrasi berparlimen negara ini.

“Pada 18 Nov, satu serbuan telah dilakukan di pejabat Bersih…hasil pemeriksaaan, kita menjumpai dokumen yang memberi petunjuk bahawa satu kesalahan telah dilakukan di bawah (Seksyen) 124c Kanun Keseksaan iaitu menggugat amalan demokrasi berparlimen di Malaysia.

Oleh kerana kita cukup alasan untuk menyiasat dia di bawah Seksyen 124c, kita menahan dia pada hari yang sama dan prosedur siasatan adalah di bawah SOSMA,” katanya sambil menambah penahanan Maria tiada kaitan dengan Perhimpunan Bersih 5.0, Sabtu lepas.

Beliau berkata demikian dalam sidang media sejurus tiba daripada lawatan rasmi ke Manila di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Khalid bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai kandungan dokumen yang dirampas dari pejabat Bersih itu.

Menurutnya, Maria turut mengaku menerima tajaan untuk Bersih daripada Open Society Foundation (OSF) yang diasaskan oleh George Soros.

“Kita semua tahu, apa OSF ini dan berapa banyak negara dah ditumbangkannya, jadi menjadi tanggungjawab PDRM untuk menyiasat dalam memastikan ketenteraman negara kita tidak diancam sesiapa sahaja,” katanya.

Selain itu, Khalid berkata semua pihak harus memahami SOSMA, yang tidak terhad kepada kegiatan keganasan sahaja sebaliknya akta itu memudahkan penyiasatan dan pendakwaan kesalahan keselamatan dilakukan.

Dalam pekembangan lain, Khalid menafikan Maria menerima layanan buruk di lokap sepanjang penahanannya sejak Jumaat lepas.

“Apa juga layanan yang kita bagi dia sama seperti yang diterima tahanan lain, dan kita sentiasa mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Kita tidak ketepikan keperluan perubatannya, setakat ini doktor telah melawatnya tidak kurang tiga kali sejak penahanannya dan kita ada doktor yang bersedia 24 jam bagi mana-mana tahanan yang memerlukan,” kata Khalid.

Pada Ahad lepas, keluarga Maria membuat laporan polis mendakwa beliau menerima layan buruk di dalam lokap selepas ditahan pada 18 Nov lepas.- BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com