Belum Ada Keputusan Bangunkan Loji Nuklear Di Malaysia

Loji Nuklear - Gambar Hiasan
KUALA LUMPUR – Kerajaan masih belum membuat sebarang keputusan mengenai pembangunan loji jana kuasa nuklear di Malaysia setakat ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Nancy Shukri.

Walaupun Program Transformasi Ekonomi (ETP) menyasarkan tarikh loji jana kuasa nuklear beroperasi pada 2021, beliau berkata tarikh itu dianjakkan kerana kerajaan perlu mengambil kira perkembangan dan sentimen semasa di dalam dan luar negara khususnya kesan tsunami pada Mac 2011 terhadap program jana kuasa nuklear di Jepun.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh daripada kajian, kemungkinanmenunjukkan garis masa tempoh pelaksanaan pembinaan loji jana kuasa nuklear memerlukan sekurang-kurangnya 11 tahun daripada tarikh kerajaan membuat keputusan dan proses pembidaan projek sehingga siap projek itu,” katanya menjawab soalan Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi) pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri pada persidangan Dewan Rakyat semalam.

Noor Ehsanuddin ingin tahu bilakah pembangunan dua loji nuklear yang berkapasiti dua gigawatts seperti yang terkandung dalam ETP sebagai sebahagian daripada Model Ekonomi Baru yang diumumkan pada 25 Okt 2010 akan mula dibina.

Nancy berkata berdasarkan kajian itu, program jana kuasa nuklear di Malaysia hanya boleh beroperasi selepas 2030 dan tertakluk kepada kelulusan Rang Undang-Undang Kawalseliaan Tenaga Atom yang baharu dan komprehensif.

Nancy menjelaskan pembangunan nuklear di Malaysia bukanlah merujuk kepada penggunaan senjata sebaliknya berhubung pengunaan nuklear bagi penjanaan kuasa elektrik.

“Malaysia bukan satu-satunya negara di rantau ASEAN yang sedang meneroka kemungkinan untuk melaksanakan program nuklear untuk tenaga, negara jiran Indonesia, Vietnam dan Thailand juga sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Vietnam katanya telah memeterai perjanjian dengan Rusia bagi tujuan pembinaan loji jana kuasa nuklear pertama di negara itu. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com