Bekas Anggota Polis Diberkas Bersama 10Kg Daun Ketum


MELAKA – Seorang lelaki bekas anggota polis ditahan ketika cuba melarikan diri bersama kira-kira 10 kilogram dipercayai daun ketum di Jalan Batu Berendam di sini malam semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Shaikh Abdul Adzis Shaikh Abdullah berkata lelaki berusia 35 tahun yang memandu teksi milik rakannya itu ditahan selepas dikejar polis sejauh tiga kilometer kira-kira 10.30 malam.

“Sebelum ditahan suspek yang memandu kenderaan itu bersama seorang lagi rakannya cuba melarikan diri daripada pemeriksaan jalan raya sehingga mereka tiba di laluan mati di Taman Sutera Belia di sini.

Rakan mangsa bagaimanapun berjaya meloloskan diri daripada ditahan dan pemeriksaan mendapati terdapat daun dipercayai ketum di dalam teksi tersebut,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata siasatan awal mendapati suspek berkenaan meminjam teksi daripada rakannya di Kuantan, Pahang sebelum ke Ipoh, Perak bagi mengambil bekalan daun ketum tersebut untuk diedarkan di sekitar negeri ini.

Katanya ujian saringan urin mendapati lelaki yang kini bekerja sebagai penjual buah itu positif dadah jenis methamphetamin dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Shaikh Abdul Adzis berkata siasatan turut mendapati lelaki berkenaan mempunyai empat rekod jenayah lampau kerana menghalang tugas penjawat awam dan dadah. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com