Bekalan Minyak Masak Malaysia Habis Di Sempadan


ALOR SETAR - Bekalan minyak masak buatan Malaysia yang sering diseludup masuk ke negara jiran, Thailand, difahamkan telah kehabisan stok di sana.

Kedahnews.com yang meninjau beberapa premis perniagaan runcit di pekan Danok yang bersempadan dengan Bukit Kayu Hitam difahamkan peniaga di sana sudah terputus bekalan sejak 5 hari lalu.

Meninjau di beberapa premis perniagaan runcit yang lain, rata-ratanya memberi jawapan yang sama dan tidak lagi menyimpan sebarang bekalan stok minyak masak dari Malaysia.

Hanya minyak masak buatan Thai sahaja yang ditawarkan di premis-premis berkenaan dengan harga sekitar RM5.60 hingga RM5.80.

Tidak dapat dipastikan modus operandi yang digunakan untuk menyeludup stok minyak masakan buatan Malaysia masuk ke Thailand, namun pekedai di daerah sempadan negara itu mengaku ada menjual minyak masak dari Malaysia.

Dipercayai minyak masak keluara Malaysian diseludup masuk secara kecil-kecilan bagi memenuhi permintaan pelanggan di sana di samping mampu menjana keuntungan yang lebih di kalangan peniaga yang menjualnya pada harga yang jauh lebih tinggi di Thailand.

Juga tidak dapat dipastikan tentang bila bekalan minyak masak Malaysia akan kembali ditawarkan di sempadan Thai itu ekoran pihak berkuasa telah memperketatkan kawalan sempadan sejak akhir-akhir ini.

Menurut salah seorang pekerja kedai runcit di sana, minyak masak dari Malaysia menjadi pilihan bagi warga Malaysia yang bermastautin di sempadan Malaysia - Thai itu ekoran kurang gemar pada minyak masak keluaran Thai.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Negeri Kedah (Cake) juga dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa beberapa pasar raya di sekitar Alor Setar turut mengalami kekurangan bekalan dipercayai kerana disorok peniaga tempatan untuk meraih keuntungan. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com