Bayi Perempuan Maut Didera Di Bukit Selambau


SUNGAI PETANI - Seorang bayi perempuan berusia empat bulan maut dipercayai akibat didera oleh pengasuh dalam kejadian di Kampung Jerai, Kuala Sin Bukit Selambau, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Md Zukir Md Isa berkata, pihaknya menerima laporan daripada doktor yang merawat bayi itu kira-kira 4.30 petang 27 Oktober‎ lepas, memaklumkan menerima pesakit mengalami sawan dan tidak sedarkan diri serta berada dalam keadaan kritikal.

"Hasil pemeriksaan, mangsa disyaki didera berdasarkan kesan kecederaan seperti pendarahan dalam otak, keretakan pada tempurung kepala dan kesan darah mengalir ke bahagian mata," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Mangsa meninggal dunia pada 10.20 pagi Isnin lepas (31 Oktober), di Unit Rawatan Rapi, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar.

Susulan itu, polis menahan seorang suspek wanita berusia 40 tahun yang juga pengasuh kepada mangsa sejak Ogos lepas, sehari selepas kejadian.

Beliau berkata, mangsa merupakan anak bongsu daripada dua beradik (kembar), manakala ibu bapa mangsa bekerja di sebuah kilang berhampiran.

"Suspek mengaku ada menghayunkan buaian pada 7.30 pagi dan kepala bayi terkena lantai. Pada masa itu mangsa masih sedar tapi dalam keadaan tidak bermaya.

"Suspek kemudian menghantar bayi itu ke rumah neneknya kerana tidak tahu nak buat apa, tanpa memberitahu apa-apa," katanya, bahawa nenek suspek kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Bukit Selambau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com