Bayi 5 Hari Diculik Di Hospital Tanah Merah Ditemui


SEORANG ibu baru bersalin tidak dapat menahan tangisan apabila mengetahui bayinya yang berusia lima hari hilang di Hospital Tanah Merah, Kelantan, malam tadi.

Kehilangan bayi itu hanya disedari apabila suaminya, Mohd. Ihtisyamuddin Mohd. Ashri, 29, kebetulan datang mahu melihat sendiri anak perempuannya itu di hospital tersebut jam 9 malam Selasa.

Bagaimanapun, dia terkejut besar apabila mendapati isterinya, Siti Norbaiti Bahanaharing, 26, menangis sambil memaklumkan anak mereka hilang.

Dia kemudian lantas mendapatkan penjelasan pihak hospital yang memberitahu bahawa anak keduanya itu dibawa keluar oleh dua individu.

“Saya terus mendapatkan pihak hospital untuk penjelasan lanjut sebelum mereka memaklumkan anak kami dibawa keluar oleh dua individu pukul 6.47 petang.

“Saya kemudian membuat laporan polis berhubung kehilangan anak bongsu dari dua beradik itu,” katanya kepada BH Online.


Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad turut mengesahkan berita itu.

Menurutnya, pihak polis bagaimanapun telah berjaya menahan suspek iaitu sepasang suami isteri berusia lingkungan 30-an di Selising, Pasir Puteh, lewat tengah malam Rabu.

“Hasil bantuan polis Pasir Puteh, kita berjaya menyelamatkan bayi berkenaan dan menahan pasangan terbabit untuk siasatan lebih lanjut.

“Kes culik berkenaan berjaya diselesaikan dalam tempoh satu jam dan bayi dalam keadaan selamat. Kes disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan,” katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com