Bayaran Balik Jika LRT, Monorel Lewat 15 Minit - Nancy


KUALA LUMPUR - Pengguna Transit Aliran Ringan (LRT) dan KL Monorel berhak mendapatkan bayaran balik sekiranya kelewatan tren selama 15 minit dan ke atas, kata Datuk Nancy Shukri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ia merupakan amalan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengenai bayaran balik kepada penumpang yang berdepan dengan kelewatan perjalanan.

"Pada masa ini, perkhidmatan LRT dan KL Monorel di bawah pengurusan Prasarana.

"Ia merupakan amalan mereka untuk membayar balik kepada penumpang yang berdepan dengan kelewatan atau menggantikannya dengan kupon yang boleh digunakan sebagai tiket untuk menggantikan perjalanan pada hari berikutnya," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Koh Nai Kwong (BN-Alor Gajah) di Dewan Rakyat.

Nai Kwong ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai polisi bayaran balik kepada pengguna pengangkutan awam sekiranya mereka berdepan dengan kelewatan, sebagaimana yang diamalkan di Britain dan Jepun.

Nancy memberi jaminan bahawa polisi yang sama juga diamalkan oleh Mass Rapid Transit (MRT) yang dijangka memulakan operasi menjelang akhir tahun ini.

MRT juga di bawah pengurusan Prasarana.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com