Bas Muafakat Johor Akan Diperluas Ke Daerah Lain


ISKANDAR PUTERI – Sebahagian daripada hasil bayaran caj jalan raya (RC) yang dikenakan ke atas setiap kenderaan asing yang memasuki Johor dari Singapura mulai 1 Nov lepas, akan digunakan oleh Johor untuk memperluas perkhidmatan Bas Muafakat Johor.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata perkhidmatan itu satu-satunya perkhidmatan bas percuma bagi rakyat tempatan, dicadangkan untuk diperluaskan ke daerah-daerah lain bagi mengurangkan kos sara hidup rakyat selain memudahkan pergerakan mereka.

Katanya, sejak dilancarkan bermula April hingga Oktober, seramai 1.34 juta pengguna telah mendapat manfaat.

Justeru, pada tahun depan, kerajaan negeri akan menambah peruntukan perkhidmatan daripada RM11 juta (tahun ini) kepada RM14.5 juta, kata Khaled.

“Ini bermakna, akan turut berlaku pertambahan jarak perkhidmatan iaitu daripada 813.6 kilometer (km) yang ada sekarang kepada 1,357 km pada tahun hadapan,” katanya.

Mohamed Khaled memberitahu demikian ketika membentangkan Bajet Johor 2017 yang bertemakan ‘Johor Berkemajuan, Rakyat Sejahtera’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri, di sini semalam.

Bayaran RC sebanyak RM20 itu dilakukan menerusi sistem Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang diaktifkan di dua laluan masuk darat iaitu Tambak Johor dan Link Kedua.

RC akan dikutip setiap kali kenderaan asing memasuki negara ini melalui sistem kad ‘Touch n Go’. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com