Bapa Maut Ditikam Anak Sebab Larang Keluar Rumah


KLANG – Seorang anak sanggup menikam bapanya dengan pisau selepas dihalang keluar dari rumah di Lintang Nau, Off Jalan Tengku Badar, di sini, awal pagi Jumaat, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa, Ong Tun Hang, 58, ditemui mati di ruang tamu dengan kesan tikaman di belakang bahu dan rusuk kiri.

Mangsa yang bekerja sebagai mekanik dipercayai ditikam anaknya, Ong Shi Bao, 21, selepas menghalang anak bongsu daripada empat beradik itu keluar dari rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Alzafny Ahmad berkata, siasatan awal mendapati berlaku pertengkaran selepas mangsa tidak membenarkan suspek keluar dari rumah kira-kira 8.30 malam, kelmarin.


Menurutnya, berlaku pertengkaran sekali lagi kira-kira empat jam kemudian apabila mangsa terus menghalang suspek untuk keluar dari rumah.

“Berang dengan tindakan bapanya, suspek mengambil sebilah pisau di dapur dan menikam mangsa sebelum melarikan diri.

“Suspek berjaya ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi dan siasatan lanjut akan dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Jelasnya, suspek yang mempunyai masalah psikologi sejak berusia 16 tahun itu dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya untuk menerima rawatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com