Bangsa Melayu Wajib Buktikan Miliki Maruah, Harga Diri


SHAH ALAM – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah bertitah orang Melayu wajib membuktikan bangsa itu memiliki maruah, menepati janji dan tidak berdusta ketika bertutur.

Titah baginda orang Melayu juga perlu menjadi bangsa yang bangga dan memiliki harga diri dengan berazam untuk lebih bersedia memberi serta kurang meminta.

“Bantulah bangsa kita dengan menyerahkan amanah dan tanggungjawab kepada Melayu yang benar-benar kompeten, berwibawa, bertenaga, berkemahiran, berpengalaman, berpengetahuan dan berintegriti daripada menyerahkan kepada orang perantaraan yang bersifat parasit, berniaga secara buluh kasap, untung tiada, modal pun lesap,” titah Sultan Nazrin.

Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa ‘Menyingkap Perjuangan Bangsa’ di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, semalam.

Turut hadir Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Datuk Hassan Said.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan penaung kepada konvensyen selama tiga hari itu.

Sultan Nazrin bertitah orang Melayu juga perlu memuliakan diri dengan memperkayakan sopan dan tertib serta berimej orang dihormati, bukan orang yang ditakuti.

“Buktikan bangsa Melayu bangsa yang pintar dengan menghentikan perbuatan mengolah cipta pelbagai penglipur lara untuk dijadikan halwa telinga atau berimej badut hingga dijadikan bahan ketawa.

“Setiap kegagalan, setiap kesilapan yang dilakukan oleh anak Melayu, aibnya ditanggung oleh seluruh bangsa,” titah baginda.

Sultan Nazrin dalam pada itu, bertitah UiTM berjaya memenuhi visi serta misi untuk membangunkan sumber manusia Melayu dan setelah 60 tahun penubuhannya, universiti itu kini memiliki enrolmen 165,000 pelajar serta melahirkan 687,176 graduan.

Baginda turut mengingatkan graduan UiTM supaya memiliki identiti insan yang amanah, jujur, bertakwa dan berintegriti.

Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 yang diterajui Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media serta Institut Melayu Pemikiran dan Kepimpinan, UiTM, menghimpunkan ilmuan, pemikir dan tokoh korporat bagi berkongsi pengetahuan bagi memperkasa semangat solidariti Melayu dengan bermatlamatkan perpaduan dan penyatuan bangsa.

Konvensyen itu juga menjadi medan pembentang kajian membincangkan pencapaian dan kejayaan bangsa Melayu serta isu berkaitan untuk dijadikan panduan, seterusnya menyumbang kepada kefahaman, toleransi dan hubungan dengan pelbagai bangsa.

Selain itu, Konvensyen Nasional Penyatuan Bangsa 2016 bertujuan meningkatkan semangat patriotik dan mengukuhkan identiti dalam kalangan generasi muda selain membentuk generasi itu menjadi pemimpin masa hadapan yang dinamik. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com