Baling Century Ride 2016 Hanya Terima 300 Penyertaan


BALING - Kejohanan Basikal Baling Century Ride (BSR) 160 KM 2016 tetap diteruskan pada 3 Disember depan walaupun kekurangan peserta.

Presiden, Kelab Berbasikal Bayu Baling, (BCC)  Mohamad Ridzuan Musa berkata, sasaran 1,000 peserta masih belum mampu dicapai walaupun tarikh kejohanan semakin hampir.

Menurutnya, kejohanan bertaraf antarabangsa itu hanya mempunyai 300 peserta berdaftar ketika ini.

“Kejohanan ini melibatkan pelumba basikal dari Malaysia, Singapura, Thailand, Jerman dan beberapa negara lain.

“Pendaftaran masih terbuka hingga 2 Disember depan dan kita mengalu-alukan penyertaan,” katanya di Pejabat Dun Bayu di sini, semalam.

Beliau berkata, masalah kekurangan peserta berkemungkinan disebabkan kejohanan sama sebelum ini dibatalkan pada saat terakhir.

Katanya, pihaknya menjadi bahan sindiran di media sosial walaupun kejohanan berbasikal sama sebelum ini dianjurkan pihak lain.

“Kesan dari itu, para peserta kurang yakin dengan kemampuan penganjur melaksanakan kejohanan-kejohanan berbasikal seperti ini.

“Kecaman peserta kepada pihak penganjur lain di media sosial turut terkena tempiasnya kepada kami,” katanya

Mohd Ridzuan berkata, kejohanan pada 3 Disember depan tidak perlu dibimbangi peserta kerana ia mendapat kerjasama penuh daripada agensi kerajaan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).

"Kejohanan dianjurkan di daerah ini juga bukan daripada penganjur sama yang membatalkan kejohanan. Kejohanan kali ini dianjurkan oleh Kelab Berbasikal Bayu Baling yang mana penaungnya sendiri adalah Timbalan Speaker Negeri Kedah iaitu, Datuk Azmi Che Husain.

“Kita mendapatkan kerjasama, antaranya daripada Jabatan Belia dan Sukan Daerah Baling, Pejabat Timbalan Speaker Negeri Kedah, Risda dan pelbagai lagi,” katanya.

Untuk pendaftaran boleh hubungi Mohamad Ridzuan Musa di talian 019-5959881 atau 019-5479768 atau layari Facebook Kelab Berbasikal Bayu Baling.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com