#BajetKedah2017: "Online Payment" Bakal Permudah Rakyat Kedah - Exco


ALOR SETAR - Perkembangan teknologi maklumat (ICT) dan sosio-ekonomi di kalangan rakyat negeri Kedah mendapat mendapat perhatian Kerajaan Negeri apabila diberi penekanan di dalam pembentangan Bajet Kedah 2017 hari ini.

Exco ICT Kerajaan Negeri, Datuk Nor Sabrina Mohd Noor yang menerima peruntukan sekali ganda RM7.7 juta bagi portfolio yang disandang berbanding RM3.8 juta pada tahun lalu menganggap bajet yang diberi merupakan satu amanah yang bakal dipikul dengan penuh tanggungjawab.

"Bagi portfolio teknologi maklumat, kami menerima peruntukan sebanyak RM7.7 juta. Kalau dibandingkan dengan tahun lepas Bajet 2016 maksudnya 2 kali ganda pada tahun ini. 

"Kita melihat kepentingan teknologi maklumat dipandang berat oleh Menteri Besar Kedah untuk kita realisasikan banyak perkara," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com berkenaan pembentangan Bajet Kedah 2017 di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah di sini, hari ini.


Mengulas lanjut, antara perkara yang menjadi perancangan Kerajaan Negeri pada tahun depan adalah mengenai sistem kutipan hasil secara atas talian (online) di mana ia dilihat akan mempermudahkan rakyat negeri Kedah membuat pembayaran kepada jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan.

"Kita sedar, trend pembayaran orang ramai melibatkan cukai seperti cukai pintu dan hasil-hasil kerajaan ini memang ramai yang nak bayar. Tapi bila kurangnya kemudahan dan cara pembayaran itu nak dibuat, mereka terlupa nak bayar.. terlambat.. atau pun tak bayar langsung.

"Jadi kita pelbagaikan kaedah menggunakan internet secara 'online payment' ini, dengan harapan kita mulakan pada hujung tahun ini, 8 PBT sudah berdaftar untuk 'online payment' dan kita harap tahun depan semua agensi menggunakan 'online payment', kita akan nampak hasilnya," jelas beliau.

Selain itu, Nor Sabrina juga sedang merancang untuk mengurangkan perbelanjaan Kerajaan Negeri dengan penjimatan melalui penggunaan "ICT tools".

"Sebagai contoh seperti rangkaian Kedah.net yang sekarang ini kita sewa dan menggunakan servis tersebut daripada pihak TM, 

"Mungkin kita boleh explore selepas ini untuk kita memiliki dan menggunakan rangkaian network kita sendiri yang mungkin memerlukan pelaburan yang agak besar sedikit, tapi kita dapat jimatkan perbelanjaan kemudian untuk seterusnya," katanya lagi.

Kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar Baharu itu, pihaknya juga sedang menjalin kerjasama dengan beberapa rangkaian syarikat telekomunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memastikan talian 3G, 4G dan LTE di kampung-kampung di seluruh negeri itu yang masih belum menerima liputan talian (network) tersebut.

Beliau optimis bahawa dengan kerjasama erat dan hubungan baik di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kini, permohonan untuk mendapatkan "network coverage" bagi seluruh pelusuk negeri Kedah bakal dapat direalisasikan dengan berkesan pada tahun 2017 nanti.

Ahmad Bashah hari ini membentang Bajet Kedah 2017 bertemakan 'Muafakat Memacu Ekonomi, Menggilap Potensi Negeri', melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.06 bilion, mencakupi RM810.1 juta perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan.-Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com