#BajetKedah2017: Kedah Dapat Manfaat Hasil Hubungan Baik Kerajaan Negeri, Pusat


ALOR SETAR - Hubungan baik yang terjalin di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat memberikan satu kelebihan yang bukan saja memudahkan pentadbiran kerajaan sesebuah negeri, malah ia memberi manfaat yang lebih kepada rakyat di negeri tersebut.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajudin Abdullah berkata, hasil hubungan baik di antara Kerajaan Negeri Kedah dengan Kerajaan Pusat terbukti telah melicinkan lagi pentadbiran Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah untuk terus memacu pembangunan yang menjamin kesejahteraan rakyat secara holistik.

"Apabila pihak yang sama memerintah dan mentadbir, dari segi hubungan pula MB Kedah pula menjalin hubungan yang baik dengan Perdana Menteri, faktor ini menjadi peluang yang baik untuk kerajaan negeri dapatkan peruntukan khas.

"Contohnya bekalan air. Baru-baru ini Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM188 juta untuk Kerajaan Negeri Kedah.

"Secara tidak langsung, ia sebenarnya yang lebih penting telah membantu rakyat di seluruh negeri Kedah untuk mendapat bekalan air yang lebih sempurna," katanya mengulas mengenai Bajet Kedah 2017 yang dibentang Ahmad Bashah di sidang Dun Kedah, di sini hari ini.

Selain itu, beliau turut memberi contoh lain seperti Kolej Universiti Insaniah (KUIN) yang bakal dinaiktaraf kepada status universiti penuh oleh Kementerian Pendidikan Tinggi pada tahun 2017 setelah memenuhi semua syarat yang ditetapkan.

"Dari segi pinjaman (kos pembinaan KUIN) itu pun seolah-olah seperti 'durian runtuh' bagi rakyat negeri Kedah kerana daripada perlu dibayar sebanyak RM46 juta dikurangkan kepada RM19 setahun.

"Malah 3 tahun yang pertama ini juga kerajaan negeri tidak perlu bayar apa-apa. Jadi wang yang kita ada itu boleh dirancang untuk perkara lain yang memberi manfaat lebih kepada rakyat Kedah.

"Inilah yang dikatakan bila hubungan baik di antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan dapat memberi manfaat, bukan saja kepada kerajaan, juga kepada rakyat di seluruh negeri Kedah," kata Adun Belantek itu yang menyifatkan bajet berkenaan sebagai cukup realistik untuk dilaksanakan dengan baik.

Tambahan pula katanya, Adun-Adun pembangkang turut kelihatan positif ketika Ahmad Bashah membentang Bajet Kedah 2017 itu, beliau optimis belanjawan tahunan itu akan menerima sokongan padu dan diluluskan dengan pemikiran yang rasional.

"Tadi pun pembangkang saya tengok ramai yang angguk kepala. Saya yakin, mereka juga akui perkara-perkara di dalam Bajet Kedah 2017 yang dapat membantu rakyat dan merancakkan lagi pembangunan di negeri kita ini," ujar beliau. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com