#BajetKedah2017: Infrastruktur Mudahkan Hidup Rakyat, Tingkat Ekonomi Tempatan


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah memperuntukkan sebanyak RM91 juta dari jumlah keseluruhan perbelanjaan pembangunan negeri bagi Bajet Kedah 2017 bagi memastikan rakyat di negeri itu menikmati kemudahaan yang lebih baik dan merangsang ekonomi tempatan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kemudahan infrastruktur yang dirancang dari peruntukan berkenaan bukan saja merupakan usaha memberi keselesaan , malah mampu merancakkan lagi peningkatan sosio-ekonomi rakyat di negeri itu.

"Asas infrastruktur yang baik, bukan sahaja memberi kemudahan kepada rakyat malah mampu membantu menjana kegiatan ekonomi setempat.

"Bagi tahun 2017, sejumlah RM 91 juta atau 35.55% diperuntukkan bagi maksud ini," katanya ketika membentang Bajet Kedah 2017 di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Jelas beliau, sebanyak RM26.6 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai projek jalan negeri termasuk projek sambungan penggantian dua buah jambatan di Jalan Datuk Kumbar -Titi Haji Idris, Daerah Kota Setar, dan projek sambungan jalan Pendang Bypass.

Selain itu, ia juga membabitkan projek-projek lain seperti pembinaan jalan ke Skim Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia di Telaga Mas, serta meneruskan penggantian jambatan sempit di Kuala Pegang, Sungai Berok dan Jambatan Sungai Pedu, Kampung Bukit Buluh.

"Kerja-kerja Penyelenggaran, pembaikan jalan dan jambatan di seluruh negeri diperuntukkan RM25 juta.

"RM8 juta bagi pemulihan kerosakan akibat banjir. Antaranya di Kawasan Kampung Serdang Batu 16, Daerah Bandar Baharu dan Kampung Kemelong, Daerah Sik. Peruntukan ini juga termasuk kerja-kerja pemeliharaan muara sungai, cegah hakisan pantai, peningkatan sistem pengairan dan modenisasi alatan mekanikal dan elektrikal skim tebatan banjir," katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau memperuntukkan sebanyak RM8.17 juta bagi bayaran imbuhan tanah dan pampasan untuk jalan-jalan negeri, serta RM5.5 juta bagi menaiktaraf dan pembinaan ruang niaga baru kawasan PBT serta tapak peniaga kecil.

Jelasnya lagi, Bajet Kedahn 2017 menyediakan sebanyak RM4 juta tujuan Skim Pembinaan Perumahan Mampu Milik dan pengambilan tanah.

Manakala sebanyak RM5.8 juta diperuntukkan di bawah Jabatan Parit dan Saliran (JPS) bagi program pembangunan sistem hidrologi dan pemantauan alam sekitar serta program pengindahan sungai.

Ia juga adalah bagi program-program meningkatkan lagi kesedaran alam sekitar bersepadu, pembangunan infrastruktur mesra alam, projek tebatan banjir dan kejuruteraan di seluruh negeri tersebut.

Ahmad Bashah hari ini membentang Bajet Kedah 2017 bertemakan 'Muafakat Memacu Ekonomi, Menggilap Potensi Negeri', melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM1.06 bilion, mencakupi RM810.1 juta perbelanjaan mengurus dan RM256.4 juta bagi perbelanjaan pembangunan. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com