Azmin Ali Dibidas Bermain Politik Tentang Krisis Air Selangor


SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dibidas kerana mengambil kesempatan bermain politik berhubung krisis bekalan air yang menjejaskan 1.6 juta pengguna di negeri itu.

Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN) negeri, Zainuri Zainal berkata, Mohamed Azmin mengambil jalan mudah dengan menyalahkan Umno dan BN berhubung beberapa siri pencemaran air sungai yang membawa kepada penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih.

"Mohamed Azmin sepatutnya melaksanakan kata-katanya sebelum ini yang komited memberi jaminan akan memberikan semua kelulusan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan air di Selangor termasuk menyegerakan pembinaan LRA Langat 2," katanya dalam sidang media di sini, Isnin.

Hadir sama, Ketua Pemuda MIC Selangor, D. Kajendran dan Ketua Pemuda UMNO Shah Alam, Datuk Ahmad Mua'azam Yaakop.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata terdapat bukti mengenai pencemaran air di Sungai Semenyih yang menunjukkan 'kecenderungan unsur sabotaj' oleh BN dan Umno untuk melemahkan kerajaan negeri memandangkan pilihan raya sudah hampir.

LRA Sungai Semenyih ditutup lebih lima kali tahun ini akibat pencemaran dengan yang terbaru pada 23 Oktober lepas akibat pencemaran di Sungai Semenyih yang disyaki berpunca daripada kawasan perindustrian di Nilai, Negeri Sembilan.

Zainuri berkata, dakwaan sabotaj oleh Mohamed Azmin itu ternyata satu fitnah, berniat jahat dan tidak berasas.

Justeru, beliau mencabar menteri besar itu supaya mendedahkan semua bukti berhubung dakwaan itu.

Katanya, beliau bersama beberapa ketua pemuda parti komponen BN Selangor telah membuat kira-kira 22 laporan polis berhubung dakwaan berkenaan dan mahu pihak polis menyegerakan siasatan serta mencari pihak yang sebenarnya bertanggungjawab mencemarkan sungai berkenaan.

Dalam pada itu, beliau turut menempelak Mohamed Azmin yang didakwa gagal mengenal pasti keutamaan menyelesaikan isu bekalan air di Selangor apabila mengumumkan pembinaan LRA Semenyih 2 dan LRA Labohan Dagang yang menelan kos RM800 juta ketika pembentangan Bajet 2017 pada Isnin.

"Mengapa LRA ini dijadikan keutamaan dan perlu disegerakan. Sepatutnya kerajaan negeri menyegerakan pembinaan LRA Langat 2 bagi menampung keperluan bekalan air di Selangor supaya krisis tidak berulang sebagaimana yang telah berlaku pada tahun 2014," katanya. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com