Ayrill Aqasha Sudah Ditemui Dalam Keadaan Selamat

Noor Ayrill Aqasha Noor Shahril.
KUALA LUMPUR - Noor Ayrill Aqasha Noor Shahril, 10, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lepas, ditemui selamat pada Sabtu.

Bapanya Noor Shahril Yusmarizal, 39, berkata anaknya dijumpai abang rakan Noor Ayrill Aqasha, Mohd Ismail Abdullah, 15, di sebuah perhentian bas di Ampang pada 6.30 petang Sabtu.

Katanya beliau dimaklumkan mengenai penemuan Noor Ayrill Aqasha oleh bekas isterinya, Siti Rohayu Yaakob.
 
"Semasa dimaklumkan, saya sedang mencari anak saya. Saya amat bersyukur dia dalam keadaan selamat," katanya.

Noor Ayrill Aqasha sebelum ini dilaporkan hilang pada 31 Oktober lalu selepas keluar dari bilik sewa bapanya di Jalan Jejaka 5, Taman Maluri, Cheras di sini.

Kehilangan Noor Ayrill Aqasha tersebar di laman sosial sejak Jumaat selepas ibu bapanya meminta orang ramai menghubungi mereka selain memaklumkan kepada polis jika mempunyai maklumat mengenai budak lelaki itu. - BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com