Atuk 95 Tahun Jalan Kaki 40KM Jual Tauhu Cari Rezeki


REZEKI memang berada di mana-mana, namun seseorang itu perlu berusaha untuk mencarinya dan bukan hanya menunggu ia datang ‘bergolek’.

Itulah semangat yang dipegang oleh seorang warga emas di Indonesia untuk menyara hidupnya.

Walaupun sudah berusia 95 tahun, Zubair yang berasal dari Dusun Klanceng, Jawa Timur menggunakan kudrat yang masih ada menjalankan perniagaan tauhu dengan hanya berjalan kaki sejauh 40 kilometer (km).

Menurut warga emas ini kepada sebuah laman berira tempatan negara itu, dia sendiri sudah lupa berapa lama perniagaan tersebut dilakukannya.

“Saya sudah tua, nak, tetapi saya perlu terus berniaga untuk keperluan hidup sehari-hari.

“Sudah berpuluh-puluh tahun saya berniaga, sejak dari dulu lagi saya jalan kaki,” jelasnya sambil tersenyum.

Tambah laman itu lagi, Zubair memulakan perniagaannya bermula pukul 3 petang dan pulang ke rumah sekitar pukul 1 pagi setiap hari.

Meskipun purata pendapatan yang diperolehnya sekitar 16,000 rupiah (kira-kira RM5.19) daripada keseluruhan jualan tauhunya sehari, namun Zubair masih bersyukur dengan rezeki yang dikurniakan.

Katanya, apalah guna rezeki yang banyak jika tidak berkat dan halal.

“Tiada masalah nak, walaupun hasilnya sedikit tetapi berkat dan halal daripada dapat duit banyak tetapi tidak berkat, buat apa,” ujarnya.

Walaupun sudah berada dalam usia emas dengan kemampuan fizikal yang terbatas, Zubair tetap berdoa agar sentiasa diberikan kesihatan dan panjang umur untuk terus mengusahakan bisnesnya itu. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com