Apa Yang Berlaku Di Myanmar? Baca Ini Jika Ingin Tahu...


RATUSAN pelarian etnik Rohingya kini telah berada di Bangladesh dengan membawa kisah menakutkan bagaimana komuniti mereka sedang diburu untuk dibunuh oleh askar militan, lapor BBC News.

“Askar Myanmar telah membakar rumah kami. Ada sesetengah daripada kami yang dibunuh, manakala ada juga yang disembelih dengan zalim.

“Keadaan ini amat memeritkan sehingga kami rasa seperti mahu terjun ke dalam laut untuk mengakhiri penderitaan ini,” kata seorang wanita Rohingya yang ditemubual oleh BBC News.

Seorang lagi pelarian wanita mengeluh tentang masa depannya: “Militan ini telah membunuh ramai orang, dua orang anak lelaki saya hilang tanpa jejak, dan mereka juga telah membakar rumah kami; ke mana kami patut pergi?”

Meskipun telah menetap di Myanmar sejak berabad lamanya, etnik Rohingya yang beragama Islam ini masih tidak diiktiraf oleh negara tersebut dan sejak beberapa tahun lalu, kaum ini telah terdedah kepada pembunuhan ‘pembersihan etnik’ untuk dilenyapkan kewujudan mereka daripada tanah air sendiri.

“Pihak junta tentera Myanmar tidak mahu agenda mereka yang seterusnya di wilayah utara Rakhine diketahui oleh dunia luar. Oleh itu, ketidakadilan yang berlaku ini tidak dapat dihidu oleh wartawan mahupun pekerja kebajikan antarabangsa,” kata wartawan BBC News, Jonah Fisher.


Dengan menggunakan perakam video yang diberikan kepada pelarian Rohingya daripada suku Dajza, Fisher berjaya mendokumentasikan sedikit sebanyak perjalanan hidup puak ini yang kini hidup di kawasan terbuka sejak mereka lari meninggalkan kampung halaman bagi menyelamatkan diri daripada serangan askar pada 12 November lalu.

Rakaman daripada kamera tersebut menunjukkan keadaan yang perlu dihadapi oleh mereka, termasuklah diserang daripada udara oleh helikopter tentera dan melihat rakan-rakan dan ahli keluarga mereka terbunuh.

Bagaimanapun, jumlah kematian masih tidak dapat diketahui sehingga kini.

Etnik Rohingya dibakar hidup-hidup oleh junta Myanmar
Tinjauan menerusi imej satelit oleh kumpulan hak asasi manusia mendapati pihak tentera telah membakar kira-kira 265 buah rumah suku Dajza etnik Rohingya itu. Bagaimanapun, kenyataan rasmi tentera menyatakan bahawa mereka tidak bertanggungjawab atas insiden itu kerana kaum minoriti itu yang membakar rumah mereka sendiri.

Keadaan ini amat bertentangan dengan tahun lalu, apabila Aung San Suu Kyi menjadi Perdana Menteri wanita pertama Myanmar serta memenangi Hadiah Keamanan Nobel pada tahun yang sama.

Keputusan Suu Kyi untuk bergabung dengan junta tentera bagaimanapun mencetuskan kontroversi, lebih-lebih lagi apabila beliau tidak mahu langsung mengulas tentang serangan yang dilakukan ke atas etnik Rohingya itu.


“Ketakutan saya adalah sama seperti manusia lain di seluruh dunia; iaitu kezaliman akan terus berlaku dan pembunuhan dilakukan dengan cara yang lebih kejam,” kata pelapor Persatuan Bangsa Bersatu di Myanmar,Yanghee Lee.

“Selagi sumber berita yang sahih dan boleh dipercayai tidak diperoleh, selagi itu kita tidak akan tahu keadaan yang sebenarnya,” kata Lee lagi. –Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com