Anak Hilang Lepas Berbasikal Ke Pasar Sejak 3 November Lalu


SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun dilaporkan hilang selepas kali terakhir keluar dari rumah keluarganya di Johor sejak 3 November lalu.

Ibu mangsa, Masita Rahmat berkata, anak kedua daripada empat beradiknya itu, Muhammad Faiz Razaki, kali terakhir keluar dengan berpakaian baju Melayu berwarna hijau dan berbasikal bersama rakannya.

Masita, 40, diberitahu oleh seorang rakan anaknya bahawa, remaja itu dilihat berbasikal bersama rakannya, Ucop, ke kawasan Bukit Sambung di sebuah pasar raya di Masai.

“Lebih enam hari Faiz tidak pulang dan kali terakhir dia berpakaian baju Melayu berwarna hijau dan berseluar sekolah yang dipinjam dari rakannya selepas bermalam di rumah rakannya itu.

“Dia selalu keluar dan tidur di rumah rakannya selepas meminta izin. Namun kali ini disebabkan saya dan suami bekerja serta hanya tinggal anak sulung kami, dia menegah adiknya itu agar tidak keluar dari rumah,” katanya memetik laporan Harian Metro.

Menurut Masita, anaknya yang berketinggian 154 sentimeter itu dikatakan bersembahyang di sebuah masjid di Taman Kota Masai sebelum kumpulan berbasikalnya berpecah dengan FAiz dan Ucop menuju ke Bukit Sambung.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abdul Aziz mengesahkan menerima laporan kehilangan remaja itu dan disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan sebagai kes orang hilang. – Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com