"Alhamdulillah, TPM Umum Pembentangan RUU 355" - Muslimat PAS


KUALA LUMPUR – “Alhamdulillah, semalam kita dimaklumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa pembentangan RUU 355 akan diadakan dalam minggu ini”

Ketua Muslimat Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd. Salleh berkata, pengumuman Timbalan Perdana Menteri itu sekali gus menamatkan persoalan ramai pihak yang menunggu tarikh perbahasan RUU 355.

Kata beliau, kini adalah masa untuk umat Islam bersama-sama umat Islam bersatu padu mendaulatkan agama Allah S.W.T dan berharap sidang Parlimen sewaktu pembentangan usul itu oleh PAS berjalan lancar tanpa sebarang gangguan pihak lain.

“Syukur ke hadrat Ilahi atas ruang yang diberikan oleh Allah S.W.T ini. Kami Dewan Muslimat PAS mengucapkan selamat bersidang kepada Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Justeru, Dewan Muslimat PAS menyeru kepada semua untuk sama-sama kita menunaikan solat hajat supaya cita-cita suci memartabatkan agama Islam ini dipermudahkan oleh Allah S.W.T,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

PAS sebelum ini mengemukakan usul untuk meminda akta tertentu bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah di negara ini supaya selaras dengan syariat Islam.

Usaha PAS untuk meminda akta bagi memperkasakan fungsi Mahkamah Syariah itu bagaimanapun mendapat tentangan hebat Pakatan Harapan yang diketuai DAP dan dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR) serta Parti Amanah Negara (PAN).

DAP mendakwa usaha PAS itu sebagai langkah awal untuk melaksanakan hukum hudud yang lapuk dan ketinggalan zaman serta bercanggah dengan hak asasi.

PKR dan PAN pula mendakwa usul PAS tersebut mengelirukan dan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan bukan Islam di negara ini. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com