Aktivis Sosialis Hishamuddin Rais Ditahan Polis


KUALA LUMPUR – Seorang lagi ahli jawatankuasa pertubuhan haram Bersih 2.0, Hishammuddin Rais telah ditahan oleh pihak polis menjelang perhimpunan tanpa permit Bersih 5.

Aktivis propembangkang itu berjaya ditahan di sekitar Bangsar Utama pada pukul 10.30 pagi Sabtu. Beliau sebelum itu dilaporkan sempat berucap sebelum berarak ke pusat bandar raya.

Bagaimanapun pihak polis belum lagi mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai isu penahanan itu namun ia dipercayai mungkin berkaitan kesalahan mengingkari Akta Perhimpunan Aman 2012.

Hishammuddin merupakan individu kedua yang telah ditahan pihak polis pada Sabtu selepas penahanan Ketua Gerakan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos kira-kira 1.30 pagi Sabtu.

Polis mula bertindak tegas pada Jumaat apabila menahan Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dan Ahli Sekretariat Bersih, Mandeep Singh dalam satu serbuan di pejabat badan bukan kerajaan (NGO) itu.

Ahli Parlimen DAP Seremban, Anthony Loke dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri DAP Pandamaran, Ronnie Liu turut ditahan pada Jumaat.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com