Air Kedah: "Bukan Macam Nak Buat Cucoq Kodok!" - Exco


ALOR SETAR - Kerajaan Negeri Kedah menyangkal dakwaan tidak berasas barisan pembangkang Dewan Undangan Negeri (Dun) kononnya Kerajaan Negeri terlalu perlahan menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga Negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim menegaskan bahawa selain 3 unit telaga tiub sedia ada sebelum ini, Jawatankuasa Khas Air Kedah telah membina 8 lagi telaga tiub di sekitar negeri Kedah.

"Sebelum ini kita sudah ada 3 telaga tiub, sekarang kita sudah ada 11. Maksudnya kita sudah bina 8 telaga tiub selepas Taskforce Air Kedah ditubuhkan.

"Jadi apa yang mereka cerita pada rakyat itu tidak betul. Pembangkang ni dia kena faham, telaga tiub ni bukan macam kita nak buat cucoq kodok," kata beliau ketika ditemubual Kedahnews.com, di sini hari ini.

Ketua Pembangkang, Datuk Amiruddin Hamzah sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri Kedah terlalu "slow" menangani masalah air di Kedah dan mempersoal tentang pelan tindakan jangka pendek membabitkan pembinaan telaga tiub di kawasan kritikal di negeri itu.

"Jadi, kita persoalkan tentang penyelesaian jangka pendek yang disebutkan nak buat telaga tiub, saya dapat maklum kata sebenarnya tak ada langsung telaga tiub yang dibuat.

"Yang ada satu (di Padang Kerasak) itu pun sebab kebakaran itu berlaku, itu pun maknanya SADA yang terus buat tu, bukan dari peruntukan RM15 juta yang diumumkan pihak kerajaan," kata Amiruddin, sebelum ini.

Jelas Adun Kuala Nerang itu, pembinaan telaga tiub perlu dikaji oleh pakar dari Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Syarikat Air Darul Aman (SADA) dan pakar Geofizik sebelum lokasi yang dikenal pasti itu dikorek dan dibina telaga tiub.

"Kita ada senarai (lokasi telaga tiub) tapi masih dalam kajian Jabatan Geo-Fizik, telaga tiub ni tak boleh korek ikut dan (sesuka hati).

"Jadi Jabatan Geo-Sains dan SADA kena pergi buat kajian bersama Geo-Fizik, kawasan-kawasan yang didapati ada air barulah kita boleh korek sebab kosnya tinggi," jelas beliau.

Mengulas lanjut, Badrol Hisham menjelaskan bahawa antara lokasi yang telah dibina telaga tiub adalah di daerah Pendang, kawasan Jabi, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena dan beberapa kawasan kritikal lain.

Berkenaan pengedaran tong statik kepada rakyat di kawasan-kawasan yang mengalami masalah bekalan air, beliau menjelaskan SADA sudah pun membuat pengedaran di lokasi terbabit selain tong statik yang disumbangkan Ahli Parlimen, Adun-Adun dan pemimpin tempatan.

"Hat (yang) di Padang Terap tu dah banyak sangat dah diedarkan," katanya.

Exco Kerajaan Negeri itu turut meluahkan keyakinan beliau bahawa selepas peruntukan yang diumumkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, dalam pembentangan Bajet Kedah 2017 yang berjumlah kira-kira RM188 juta, masalah bekalan air di Kedah akan dapat diselesaikan sepenuhnya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com