Ahli Parlimen Sg Besar Kesal Lelaki Disahkan Meliwat Dianggap "Tokoh Islam"


KUALA LUMPUR – Kerajaan Selangor dikecam kerana dilihat seolah-olah memperalatkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk kepentingan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kerajaan Selangor mempergunakan JAIS mengarahkan guru Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) dan Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) di Selangor menghadiri Seminar Pemikiran Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Program itu difahamkan dianjurkan Jawatankuasa Tetap Pendidikan Pembangunan, Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Negeri Selangor yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zuhdi berkata, JAIS tidak seharusnya dilibatkan dalam agenda politik PKR untuk mengangkat darjat Anwar kononnya seorang tokoh pemikir pendidikan Islam kepada rakyat Selangor.

“Sepatutnya JAIS lebih peka dan mengambil kira latar belakang Anwar yang dipenjara kerana didapati bersalah meliwat bekas pembantunya dan ini sahaja sudah cukup dijadikan pertimbangan mengenai masalah moralnya sebelum ini yang tidak sejajar dengan ajaran Islam.

“Tambahan pula, Anwar juga dikaitkan dengan pendiriannya sebelum ini yang menyokong kepada bentuk pemikiran yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti fahaman liberalisme dan pluraslime termasuklah menyokong amalan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Budiman berkata, beliau beranggapan Seminar Pemikiran Datuk Seri Anwar Ibrahim itu sebenarnya satu cubaan oleh PKR untuk mengangkat kembali imej banduan kes liwat itu yang semakin merudum sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, situasi itu berlaku disebabkan perangan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini kelihatan menguasai pakatan pembangkang.

Justeru, katanya, beliau memohon Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) supaya campur tangan dalam perkara itu demi kepentingan masa depan anak-anak beragama Islam Selangor.

“JAIS adalah satu agensi yang bertanggungjawab untuk memelihara, menyatukan umat dan membangunkan syiar Islam di Selangor,” katanya. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com