Agong Berangkat Ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih


KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah berkenan berangkat ke Istiadat Perbarisan Menjunjung Kasih Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XIV di Dataran Panglima Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi di sini semalam.

Istiadat perbarisan itu diadakan sebagai penghargaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada Tuanku Abdul Halim yang juga Pemerintah Tertinggi ATM dan Tuanku Hajah Haminah atas tamat tempoh rasmi perkhidmatan baginda berdua sebagai Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke-14 pada 12 Dis ini.

Keberangkatan tiba pasangan diraja itu di Dataran Panglima Tentera Darat pada pukul 8.30 pagi disambut dengan ‘Hormat Diraja’ oleh peserta perbarisan dan disusuli dengan lagu Negaraku.

Tuanku Abdul Halim yang akan tamat tempoh sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Dis ini akan digantikan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V.

Baginda telah mencatat sejarah setelah ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong buat kali kedua pada 2012. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com