Adun PKR Minta Penjelasan Lulus 53 Lesen Hiburan Baru

Tze Min (tengah) bersama pemimpin PKR Cabang Sungai Petani menunjukkan data lesen hiburan diluluskan Pejabat Daerah Kuala Muda untuk 2015 dan 2016.
SUNGAI PETANI - Kerajaan negeri digesa mendedahkan maklumat terperinci mengenai pemberian 53 lesen baharu untuk hiburan keluarga yang diluluskan Pejabat Daerah Kuala Muda untuk tahun ini.

Adun Bakar Arang, Simon Ooi Tze Min berkata, pihaknya khuatir jumlah lesen hiburan keluarga diluluskan di Kuala Muda merupakan jumlah terbanyak berbanding daerah lain di negeri ini.

“Dalam soalan bertulis saya pada sidang Dun Kedah lalu, saya bertanya mengenai statistik lesen hiburan dikeluarkan pada 2015 dan 2016 mengikut pecahan daerah serta jenis lesen.

“Berdasarkan jawapan bertulis yang diterima mendapati jumlah lesen dikeluarkan di Kuala Muda adalah sangat banyak berbanding 2015, apabila hanya sebanyak sembilan lesen dikeluarkan untuk hiburan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat Khidmat Adun Bakar Arang.

Menurutnya, pihaknya juga sangat khuatir sama ada lesen hiburan keluarga itu termasuk pusat judi haram yang banyak berselindung di sebalik kedai gambar animasi, yang kini  bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.

"Sebagai wakil rakyat, saya juga menerima banyak rungutan penduduk Sungai Petani yang mengadu kewujudan pusat judi. Adakah pusat berkenaan beroperasi di bawah lesen hiburan keluarga?

"Untuk kepastian lanjut, saya meminta Pejabat Daerah mengumumkan di mana lokasi premis 53 pusat hiburan keluarga di daerah ini dan apakah jenis hiburan keluarga yang dibekalkan oleh mereka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mendesak kerajaan negeri memandang serius kewujudan pusat judi di bandar ini, yang akan membawa masalah kepada masyarakat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com