ADAB Bakal Jadikan Kedah Pasukan Digeruni Pada Masa Hadapan - TCH


ALOR SETAR - Penubuhan Akademi Datuk Ahmad Basri (ADAB) diyakini bakal menjadikan pasukan Lang Merah sebagai sebuah pasukan mantap yang akan digeruni oleh setiap pasukan yang bersaing di dalam arena bola sepak negara.

Ketua Jurulatih Kedah, Tan Cheng Hoe berkata, ADAB bakal merupakan satu titik permulaan yang baik dengan memberi nafas baru bagi pembangunan bola sepak di negeri ini dengan menggilap potensi-potensi baru yang bakal menggegarkan negara di masa hadapan.

"Saya yakin dengan penubuhan Akademi Datuk Ahmad Basri, pasukan negeri Kedah akan digeruni oleh mana-mana pasukan di Malaysia," katanya jurulatih yang mencipta sejarah membawa pulang Piala Malaysia ke bumi Jelapang Padi bagi musim 2016.

Beliau memuji inisiatif Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah yang meneruskan kesinambungan lagenda bola sepak Hijau Kuning, Allahyarham Datuk Ahmad Basri Akil, yang terkenal melahirkan bakat-bakat muda yang berjaya mengharumkan nama Kedah sebelum ini.

"Arwah Datuk Ahmad Basri merupakan seorang ikon bola sepak di negeri kita. Pasukan Kedah ketika di zaman beliau banyak melahirkan pemain-pemain yang berpotensi dan berjaya mewakili pasukan negara serta mengharumkan nama negeri Kedah," katanya.

Jelas beliau, dengan menghidupkan semula matlamat dan menambah baik pembangunan Allahyarham, ADAB bakal menjadi 'kilang' melahirkan anak-anak muda Kedah yang berpotensi mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri dan negara. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com