"Abam Peah" Sedekah Petrol Percuma Di Kota Bharu


APA yang dilakukan mungkin nampak kecil, namun besar maknanya buat golongan yang benar-benar memerlukan.

Itulah yang dirasai oleh kira-kira 500 penunggang motosikal di sekitar Kota Bharu, Kelantan apabila tidak melepaskan peluang mendapat petrol percuma di Stesen Minyak Shell, Jalan Kebun Sultan, semalam.

Usaha murni tersebut sebenarnya atas sumbangan ikhlas seorang usahawan tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Abam Peah.

Petrol percuma itu mula diberikan kepada penunggang motosikal dari jam 9 pagi ke 11 pagi semalam.

Difahamkan, hebahan mengenai pemberian petrol percuma itu telah dilakukan Abam Peah sejak beberapa hari lalu menerusi laman Facebooknya.

“Hari ini seawal 9 pagi ramai yang berkumpul untuk mengisi minyak percuma dan awalnya saya hanya menyediakan 250 kupon minyak sahaja sebelum habis 40 minit kemudian.

“Disebabkan sambutan menggalakkan saya menambah lagi 250 kupon dan selesai sepenuhnya hampir jam 11 tadi,” katanya, memetik laporan Harian Metro.

Sementara itu, dia enggan mendedahkan kos petrol keseluruhan yang disedekahkan sepanjang pagi hari ini.

Pada masa yang sama, dia akui berasa gembira dapat membantu meringankan golongan yang memerlukan. - Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com