97 Peratus Peminjam PTPTN Disenarai Dalam CCRIS


KUALA LUMPUR - Peratusan graduan yang gagal membayar semula pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) masih tinggi, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Dr Mary Yap.

Mary Yap memaklumkan kepada Parlimen pada Rabu, sebanyak 97 peratus peminjam yang telah tamat pengajian dalam tempoh dua tahun lalu dimasukkan dalam Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRIS) kerana gagal melunaskan pinjaman pengajian.

"Seramai 728,935 peminjam tamat pengajian mereka antara tahun 2014 dan 2016 tetapi 701,895 daripada jumlah itu disenarai dalam CCRIS," kata beliau.

Mary Yap turut menjelaskan bahawa CCRIS bukan mekanisme untuk menyenaraihitamkan nama peminjam tetapi merekodkan status peminjam.

Tambah beliau, penyenaraian dalam CCRIS akan mendidik peminjam agar lebih berdisiplin dan berusaha melunaskan hutang mereka.

"CCRIS tidak bermaksud sebagai hukuman kepada peminjam tetapi merupakan kaedah untuk memastikan peminjam tampil dan mendapatkan nasihat daripada PTPTN bagi membayar semula pinjaman.

"PTPTN menawarkan beberapa kaedah pembayaran dan membenarkan peminjam membuat pilihan membayar secara ansura pada setiap bulan sehingga tempoh 60 tahun," ujarnya.

Beliau turut menggalakkan peminjam terutamanya graduan yang masih belum bekerja untuk menghubungi talian perkhidmatan PTPTN atau mengunjungi mana-mana daripada 70 cawangan di seluruh negara untuk mendapatkan khidmat nasihat.

"PTPTN masih menawarkan diskaun 15 peratus bagi pembayaran secara penuh dan diskaun 10 peratus pembayaran secara secara berperingkat atau pemotongan gaji pada setiap bulan," katanya.

Untuk maklumat lanjut, boleh layari laman web PTPTN menerusi pautan www.ptptn.gov.my atau menghubungi talian 03-2193 3000.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com