550,000 Pekebun Kecil Bakal Terima Manfaat Lawatan PM Ke China


KUALA LUMPUR - Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke China baru-baru ini mampu memberi manfaat jangka panjang kepada lebih 550,000 pekebun-pekebun kecil di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mah Siew Kong.

Kata beliau, lawatan berkenaan adalah merupakan langkah bagi memulihkan semula penyusutan sebanyak 42 peratus eksport minyak sawit ke negara tembok besar itu pada tahun ini.

"Hasrat Perdana Menteri dalam lawatan itu adalah untuk meningkatkan aktiviti eksport minyak sawit yang menjadi sumber pendapatan kedua terbesar Malaysia ke negara berkenaan dan kita percaya seramai 550,000 pekebun kecil bakal mendapat manfaat," katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa sepanjang Januari hingga Ogos 2015, China mempunyai populasi kira-kira 1.4 bilion penduduk itu telah mengimport sebanyak 1.8 juta tan metrik minyak sawit, namun jumlah itu menyusut kepada 1.052 juta tan metrik sahaja dalam tempoh yang sama tahun ini.

Justeru itu, Siew Kong menegaskan bahawa dakwaan yang mengatakan lawatan Perdana Menteri ke China adalah untuk menjual negara adalah satu kenyataan yang tidak benar dan tidak mempunyai asas sama sekali.

"Dakwaan lawatan itu untuk menjual negara sama sekali tidak berasas kerana sebagai negara perdagangan, negara memerlukan pelaburan untuk meningkatkan ekonomi dalam jangka masa panjang," jelas beliau lagi.

Beberapa pemimpin politik pembangkang sebelum ini mendakwa kunjungan kerja Mohd Najib ke China baru-baru ini telah menjual negara merujuk kepada pemeteraian 14 perjanjian bernilai RM144 bilion.

Walau bagaimanapun, dakwaan tersebut bukan saja dibidas pakar-pakar ekonomi, malah turut ditertawakan ramai memandangkan pemimpin-pemimpin politik yang mengkritik itu dikatakan aktif menandatangani pelaburan ke negara ini ketika berkuasa sebagai kerajaan. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com