4,896 Calon Dapat Semua A Format Baru UPSR


PUTRAJAYA – Seramai 4,896 daripada 452,721 murid mendapat keputusan cemerlang Gred A bagi semua mata pelajaran dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016, kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Dr. Khair Mohamad Yusof.

Beliau berkata calon tahun ini merupakan kohort pertama yang menduduki peperiksaan itu di bawah format baharu UPSR sejajar pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang turut menekankan unsur-unsur Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

“Kita tidak boleh membandingkan analisis UPSR 2016 daripada tahun lalu kerana ini merupakan kohort pertama yang mengikuti KSSR,” katanya mengumumkan analisis keputusan UPSR 2016 di Kementerian Pendidikan di sini, hari ini.

Dr. Khair berkata seramai 8,345 calon atau 1.89 peratus memperoleh keputusan maksimum 1B; 35,752 calon atau 8.11 peratus memperoleh minimum 2B; 91,366 calon atau 20.73 peratus (minimum 1C).

“Seramai 152,825 calon atau 34.67 peratus (minimum 1D), 137,262 calon atau 31.14 peratus (minimum 1E) manakala 9,519 calon atau 2.16 peratus mendapat semua E,” katanya.

Gred Purata Nasional (GPN) UPSR 2016 merekodkan 2.96 mata, katanya. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com