4 Tonggak Kedah Diberi Pelepasan Dari Sertai Sambutan Perarakan Lang Merah

(Dari kiri) Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Mohd Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Johari.
ALOR SETAR - Empat tonggak utama skuad Kedah diberi pelepasan untuk menyertai sambutan perarakan Piala Malaysia bersama Lang Merah yang bermula di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim, Alor Setar hari ini.

Kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, Syazwan Zainon, Mohd Rizal Ghazali dan Khairul Helmi Johari difahamkan perlu melaporkan diri bersama skuad kebangsaan malam ini bagi menghadapi perlawanan persahabatan dengan Papua New Guinea dan persiapan Piala AFF Suzuki.

Perkara berkenaan dimaklumkan oleh Setiausaha Akhbar Menteri Besar, Nahar Tajri, ketika ditemui di sini hari ini.

Perlawanan persahabatan berdepan Papua New Guinea akan berlangsung di Stadium Shah Alam 14 November ini manakala saingan Piala AFF Suzuki di Yangon, Myanmar akan bermula pada 19 November.

Selain itu empat wira Kedah tersebut, empat pemain Selangor yang turut terbabit pada aksi final Piala Malaysia, kelmarin termasuk Shahrom Abdul Kalam, Khairul Azhan Khalid, Ahmad Hazwan Bakri dan S Veenod juga perlu melaporkan diri bersama Harimau Malaysia, hari ini. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com