4 Kapal LMS Dianggarkan Bernilai RM1 Billion


KUALA LUMPUR – Empat kapal misi pesisir (LMS) yang dibeli dari China bagi memenuhi keperluan semasa Tentera Laut Diraja Malaysia dianggarkan bernilai RM1 bilion, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kos bagi sebuah kapal LMS adalah tidak melebihi RM250 juta.

“Saya harap jawapan saya ini menghentikan spekulasi di luar sana oleh pihak yang tidak bertanggungjawab mengenai harga kapal LMS,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen semalam.

Hishammuddin berkata adalah mustahak bagi mengantikan kapal kelas Laksamana yang sudah usang dengan kapal-kapal LMS yang konsepnya sesuai bagi maksud dan kos yang lebih efektif.

Beliau optimis penglibatan kerjasama pembinaan kapal berkenaan oleh syarikat Boustead dari Malaysia dengan China Shipbuilding and Offshore International Corporation Limited akan menguntungkan kedua-dua pihak.

Telah dipersetujui, dua kapal LMS itu akan dibina di Malaysia, dan dua lagi di China.

Hishammuddin percaya peraturan ini akan membolehkan Boustead meningkatkan keupayannya dengan mempelajari teknologi lebih canggih. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com