3 Kali Lafaz, Muhammad Ziyad Sah Bergelar Suami, Tahniah!


NILAI – Pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Rio de Janeiro, Brazil, Muhammad Ziyad Zolkefli selamat diijabkabulkan dengan wanita pilihannya, Zafirah Md Nasir pada pukul 9.32 malam kelmarin.

Muhammad Ziyad, 26, juara acara lontar peluru T20 (masalah pembelajaran) dan Zafirah, 26, dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Md Nasir Abd Wahab di kediaman pihak perempuan di Jalan Casuarina di sini.

Beliau sah bergelar suami selepas tiga kali lafaz semasa akad nikah dan menyerahkan mas kahwin RM3,000 beserta seutas gelang emas kepada Zafirah disaksikan kira-kira 200 tetamu.

Muhammad Ziyad yang segak berbaju Melayu berwarna krim tiba di perkarangan rumah pengantin perempuan kira-kira pukul 8.40 malam.

Manakala Zafirah yang merupakan anak kedua daripada enam beradik yang tampak manis dengan baju sedondon berwarna krim melemparkan senyuman gembira selepas ucap akad Muhammad Ziyad disahkan oleh tiga saksi.

Kisah cinta pasangan suami dan isteri ini bermula ketika kedua mereka menuntut di kolej swasta pada 2009 namun perhubungan mereka hanya bertahan selama empat bulan sahaja kerana Muhammad Ziyad tidak meneruskan pengajiannya di kolej itu selepas mendapat tawaran daripada Majlis Sukan Negara (MSN) untuk menjadi atlet sepenuh masa.

Hubungan mereka kemudiannya kembali bertaut pada 2011.

Muhammad Ziyad ketika ditemui berkata perasaan gementar yang dirasainya sebelum bernikah melebihi perasaan gementar ketika perlawanan.

“Sebelum ini memang saya tidak rasa gementar sangat tetapi perasaan itu muncul ketika sesi latihan untuk menyebut akad.

"Ini merupakan lembaran baharu dalam hidup saya apabila bapa Zafirah telah menyerahkan tanggungjawabnya kepada saya dan kini saya memikul satu tanggungjawab yang besar iaitu suami,” katanya.

Zafirah berkata beliau tertarik dengan keperibadian suaminya yang gemar membuat lawak, penyayang dan bertanggungjawab.

“Saya boleh tengok sikap bertanggungjawabnya ketika dia bersama keluarganya,” katanya sambil menambah beliau akan terus menyokong karier suaminya.

Sementara itu, Md Nasir, 60, ketika ditemui berkata beliau berasa teruja dan sedikit gementar kerana buat kali pertamanya menerima menantu.

“Ini merupakan kali pertama saya menyambut menantu jadi rasa gugup tu ada. Apa pun saya mendoakan kebahagian anak saya dan suami pilihannya hingga akhir hayat.

Menyifatkan Muhammad Ziyad seorang yang bertanggungjawab, Md Nasir berkata menantunya itu juga seorang yang sangat hormatkan orang tua. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com