3 Jenis Golongan Yang Mahu UMNO, PAS Bersatu – Nik Abduh


KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mengkategorikan tiga golongan yang benar-benar mahukan PAS dan UMNO bersatu.

Kata beliau, pertama adalah golongan yang mahukan UMNO kekal memerintah dan PAS turut berada dalam kerajaan campuran sebagai rakan.

Menurutnya, golongan kedua adalah mereka yang berharap PAS hancur bersama UMNO, maka mereka akan dapat membina kerajaan baharu tanpa Islam.


Beliau bagaimanapun mengingatkan ada golongan ketiga yang benar-benar mahukan kesatuan umat Islam di atas tali agama lalu mampu memerintah bersama.

“Saya berkata, PAS matlamatnya ialah menyatukan umat di atas tali agama Islam yang kukuh dan lurus. PAS bukan untuk orang PAS. PAS adalah untuk umat Islam dan seluruh rakyat.

“Kepada yang ikhlas menanti dan mengharap, saya berpesan bersamalah berjuang. Hadiah Allah daripada kesembuhan itu adalah kesatuan umat. Kesatuan itulah sumber kekuatan,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Desakan umat Islam Malaysia supaya UMNO dan PAS kembali menjalin kerjasama politik semakin kuat kedengaran sejak kebelakangan ini.

Permintaan itu timbul disebabkan kebimbangan mereka ke atas perkembangan politik mutakhir yang menyaksikan gabungan parti pembangkang yang turut didokong kumpulan liberal dan anti-Islam semakin agresif mahu merampas pemerintahan negara ini.

Malah, pendakwah Islam antarabangsa, Dr. Zakir Naik yang meneliti perkembangan politik Malaysia sebelum ini turut menggesa supaya UMNO dan PAS bekerjasama.

Kata Zakir, langkah itu akan memberi banyak kebaikan kepada Malaysia dalam memacu negara ke hadapan serta mengukuhkan Islam di negara ini. – Kedahnews.com

1 comment:

  1. UMNO dan PAS bersama membina kekuatan dan menentang kebatilan.

    ReplyDelete

| Copyright © 2013 KedahNews.com