26.7 Peratus Rakyat Kedah Hadapi Masalah Mental


ALOR SETAR - Kajian yang dilakukan Kementerian Kesihatan (KKM) pada 2015 mendapati peratusan rakyat Kedah yang mengalami masalah mental adalah 26.7 peratus.

Exco Kesihatan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kebanyakan mereka yang terdedah dengan masalah itu merupakan rakyat berumur 16 tahun dan ke atas.

“Beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah mental secara amnya adalah disebabkan krisis kewangan, masalah ekonomi, masalah perhubungan antara rakan-rakan, ahli keluarga atau orang awam, kurangnya kemahiran keibubapaan, penyakit fizikal yang kronik seperti diabetes, jantung dan angin ahmar.

“Ada juga yang terdedah dengan keganasan. Ini secara umumnya beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya masalah mental di kalangan rakyat Kedah,” katanya ketika menjawab soalan-soalan lisan oleh Dr Krishnamoorthy Rajannaidu (PKR-Bukit Selambau) yang bertanyakan mengenai peratus rakyat Kedah yang mempunyai masalah mental, kelmarin.

Krishnamoorthy bertanyakan soalan itu berikutan pendedahan Menteri Kesihatan yang memaklumkan 30 peratus rakyat Malaysia mengalami masalah mental, baru-baru ini.

Berikutan itu, beliau turut bertanya apakah langkah yang diambil kerajaan negeri untuk mengurangkan jumlah pesakit mental di negeri ini.

Menjawab persoalan itu, Yong Kong berkata, kerajaan melalui KKM telah mengadakan ceramah dan pameran mengenai kesihatan dan penyakit mental untuk meningkatkan kesedaran orang awam supaya mereka memahami cara untuk atasi pengurusan tekanan, mencegah serta bagaimana boleh mendapatkan rawatan awal.

“Saringan juga dibuat di klinik-klinik kesihatan dan sekolah untuk kenalpasti kes-kes yang alami kesihatan mental. Kaunseling juga diberikan termasuk rujukan ke hospital untuk pemeriksaan selanjutnya juga diadakan,” katanya.

Sementara itu, Krishnamoorthy turut menzahirkan rasa bimbang sekiranya masalah mental itu akan menjadi penyakit kedua terbesar selepas sakit jantung.

Yong Kong berkata, tanda seseorang itu mempunyai masalah mental adalah apabila mula berasa gelisah, marah, murung dan gangguan emosi apabila menghadapi masalah dalam kehidupan harian.

“Kebanyakan golongan ini masih terkawal dan ini adalah tanda-tanda awal. Maksudnya mereka yang dalam tekanan kita boleh bantu kalau dapat kesan awal,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com