1MDB: Rafizi Didapati Bersalah Langgar OSA - Mahkamah


KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli didapati bersalah kerana melanggar Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972 apabila memiliki laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB) tanpa kebenaran dan mendedahkannya kepada media.

Hakim Mahkamah Sesyen, Zulqarnain Hassan mendapati Rafizi bersalah di atas kedua-dua kesalahan.

Zulqarnain pada Isnin berkata, video mengenai Rafizi membuat sidang media berhubung isu terbabit jelas menunjukkan beliau melakukan kedua-dua kesalahan.

Tambah Zulqarnain, Rafizi gagal membangkitkan keraguan di atas dakwaan terhadapnya.

Rafizi didakwa memiliki halaman 38 laporan audit 1MDB tanpa kebenaran, yang mana beliau melanggar OSA 1972.

Beliau dikatakan melakukan kesalahan itu di lobi Parlimen di Jalan Parlimen di sini, pukul 3 petang 24 Mac tahun ini.

Rafizi, 39, turut didakwa kerana mendedahkan kandungan laporan audit pada halaman yang sama menerusi sidang media 28 Mac lalu.

Pada 8 April lalu, Rafizi mengaku tidak bersalah kerana melanggar OSA. Beliau kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin RM3,000 bagi sebutan semula kes.

Menurut Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan, ahli Parlimen akan hilang kelayakan sekiranya dijatuhkan hukuman untuk tempoh tidak kurang setahun atau denda tidak kurang RM2,000, dan tidak mendapat pengampunan.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com