1BestariNet: KPM Sedia Beri Kerjasama Pada PAC, Jabatan Audit Negara


KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan sedia bekerjasama dengan Jabatan Audit Negara untuk mengadakan audit susulan projek perkhidmatan 1BestariNet, program pelaksanaan akses internet di sekolah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Chong Sin Woon berkata, kementerian juga telah menjalankan audit dalaman berhubung 1BestariNet dengan menjurus kepada aspek kelemahan dalam pelaksanaan program berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di lobi Parlimen apabila diminta mengulas kenyataan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang bahawa audit susulan terhadap projek 1BestariNet akan dijalankan dalam masa terdekat bagi melihat keberkesanan pelaksanaannya.

Ambrin semalam berkata, keputusan itu dibuat atas permintaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berikutan banyak rungutan diterima daripada pihak sekolah dan ibu bapa mengenai pelaksanaan program itu, yang antara lain menyentuh mengenai kadar kelajuan internet yang rendah.

1BestariNet merupakan inisiatif Kementerian Pendidikan bagi mengganti dan menambah baik sistem rangkaian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) di sekolah dengan pelaksanaan fasa pertamanya bermula 2011 membabitkan peruntukan RM663 juta.

Projek 15 tahun itu mempunyai tiga fasa dengan kos keseluruhan RM4.077 bilion, kini telah memasuki fasa kedua sejak Julai 2016. - Bernama

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com