14 Rusuk Kambing Habis "Dikerjakan" Lelaki Ini Dalam Tempoh 3 Minit

Mohd Azriq berjaya menghabiskan 14 rusuk kambing dalam tempoh 3 minit.
PUTRAJAYA - Seorang pegawai eksekutif syarikat telekomunikasi dinobatkan sebagai juara Pertandingan Makan Rusuk Kambing, anjuran Restoran Tony Roma’s dengan menghabiskan 14 rusuk kambing dalam masa tiga minit 14 saat, di pusat beli-belah IOI City Mall, pada Ahad.

Mohd Azriq Nazifi Abdul Razak, 30, setakat ini mencatat rekod terpantas menghabiskan rusuk kambing yang pernah dianjurkan  restoran berkenaan.

Mohd Azriq berkata, dengan semua persediaan yang dilakukan, dia berjaya mencapai sasaran masa yang ditetapkan sendiri.

"Untuk beberapa hari atau minggu sebelum ini, saya ada tengok teknik makan dengan betul. Manakala, pada pagi tadi, saya melakukan sedikit senaman ringan dan makan sekadar untuk alas perut.

"Semestinya saya mempunyai sasaran masa semasa pertandingan ini, iaitu tiga minit. Walaupun melebihi 14 saat, tetapi saya tetap puas dengan pencapaian pertama saya ini," jelasnya.

Ketua Pegawai Pemasaran Romacorp Inc., Jim Rogers (kiri) menyerahkan tajaan makan percuma kepada Mohd Azriq.

Mohd Azriq yang merupakan penggemar makan rusuk kambing di restoran itu membawa pulang hadiah baucar makan di Tony Roma’s selama setahun bernilai RM2,400.

Bagi kategori wanita pula, dimenangi oleh Cheong Poh Leng, 49, (gambar bawah) dari Setia Alam, Selangor, apabila menewaskan lapan peserta akhir, dengan menghabiskan tujuh rusuk kambing dalam masa empat minit 33 saat.

Pertandingan yang sama juga turut diadakan di Melaka pada Sabtu dan pada 19 November pula 10 peserta kategori lelaki dan perempuan akan berkumpul di Komtar Johor Bahru City Centre (Komtar JBCC).

Pengurus Besar Jenama Tony Roma’s, Muhammad Adam Mah berkata, pertandingan makan yang dianjurkan restoran tersebut adalah kali kelapan.

"Sebenarnya, pertandingan makan ini sudah dianjurkan selama lapan tahun, dan sepanjang anjuran tersebut kami hanya mempertandingkan makan daging sahaja. Tetapi tahun ini, sempena ulang tahun ke 10 ini dan buat pertama kali, kami tukar kepada kambing pula," ujarnya.

Sumber: mStar

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com