13 Keluarga Di Kuala Muda, Kedah Terjejas Banjir Kilat


SUNGAI PETANI – Sebanyak 13 keluarga yang terdiri daripada 31 penduduk di dua buah kampung di sekitar Kuala Muda dilaporkan terjejas akibat banjir kilat yang melanda awal pagi semalam berikutan fenomena air pasang.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam (APM) Daerah Kuala Muda, Lt Muda Pertahanan Awam Azahar Ahmad berkata pihaknya bergegas ke Kampung Kepala Jalan sebaik menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 1.30 pagi semalam.

“Air didapati setinggi kira-kira 0.3 meter yang bergenang di atas jalan raya dan turut memasuki rumah penduduk.

“Di situ seramai enam keluarga melibatkan 19 mangsa yang terjejas namun tiada pusat pemindahan yang dibuka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kira-kira pukul 3.30 pagi, pihaknya menerima satu lagi panggilan yang memaklumkan mengenai banjir kilat yang berlaku di Kampung Sungai Pial, Bedong yang melibatkan 12 mangsa daripada tujuh keluarga.

“Pemerhatian mendapati banjir kilat ini dipercayai berpunca daripada sistem saliran yang bermasalah,” katanya dan menambah kedaaan kini kembali pulih. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com