13 Ajaran Sesat Di Kedah Termasuk Syiah, 4 Tukar Agama


ALOR SETAR - Sebanyak 13 kes ajaran yang bertentangan dengan al-Quran dan hadis dilaporkan di negeri ini sejak Enakmen Jenayah Syariah Kedah dikuatkuasakan.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, kes terbabit merangkumi Syiah selain ajaran sesat lain yang dilaporkan wujud di Kedah.

“Ajaran lain yang difatwakan sesat adalah Taslim, Qadiani Ahmadiah, tarekat Aurad Ismailiah, Naqsyabandiah Khalidiah, Aurad Muhammadiah pegangan Darul Arqam, anti hadis, syiah, amalan perbomohan Ibu Rodziah, ajaran Tok Hussein Janggut serta Azhar Wahab,” katanya, dalam jawapan pertanyaan bertulis, Mahadzir Abdul Hamid (Jeneri-BN) berhubung ajaran sesat yang wujud di Kedah.

Menurutnya, semua ajaran sesat itu telah diambil tindakan dengan mengeluarkan fatwa mengharamkannya atau ia menyalahi iktikad akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

“Sebanyak 10 kes telah diambil tindakan manakala tiga lagi masih dalam tindakan penyelidikan,” katanya.

Dalam jawapan kepada pertanyaan bertulis Mohd Nasir Mustafa (Kubang Rotan-Pas) berhubung jumlah penganut Islam yang membuat permohonan tukar agama, Mohd Rawi berkata, permohonan pengisytiharan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Syariah Kedah adalah 15 kes.

“Permohonan dibuat sejak tahun 2011 hingga 2015, di mana hanya empat diluluskan manakala 11 tidak diluluskan,” katanya.

Tahun 2011 dua kes diluluskan dan 2012, terdapat dua permohonan diluluskan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com