10,000 PKS Malaysia Tersenarai Dalam Platform Alibaba - Mustapa


KUALA LUMPUR – Sehingga kini terdapat 10,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara ini tersenarai dalam platform syarikat terkemuka antarabangsa, Alibaba, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Mustapa berkata syarikat PKS yang tersenarai dalam program e-dagang melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ini penting bagi membolehkan mereka menembusi pasaran luar negara.

“Ini merupakan antara kerjasama ekonomi yang dicapai antara Malaysia dan China yang dijangkakan memberi manfaat kepada usahawan PKS negara ini,” katanya pada sesi pentanyaan menteri, di Dewan Rakyat semalam.

Beliau menjawab soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) mengenai manfaat yang boleh diperoleh Malaysia dan rakyat daripada sudut pelaburan, perdagangan dan pekerjaan hasil rombongan dagang ke China baru-baru ini yang dilaporkan akan membawa RM144 bilion pelaburan ke negara ini.

Menjawab soalan tambahan Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) mengenai pendirian Malaysia dan status Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) susulan kemenangan Donald Trump pada pilihan raya Presiden Amerika Syarikat (AS), Mustapa berkata Malaysia berharap AS tidak membuat perubahan radikal mengenai perjanjian berkenaan.

“Kita baca kenyataan (Trump) sebelum ini agak keras, namun kita lihat beberapa pendirian beliau telah berubah.

“Kita berharap ini juga akan berlaku ke atas TPPA. Kita percaya AS, sebagai negara perdagangan, dasarnya tidak banyak berubah…pasti ada perubahan dasar, tetapi tidaklah begitu radikal,” katanya.

Beliau juga berkata TPPA akan termasuk dalam agenda persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Peru tidak lama lagi. – BERNAMA

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com