UMNO Kedah Sasar 50,000 Ahli Baru Berdaftar Sebelum 2016 Berakhir


ALOR SETAR - Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah mensasarkan seramai 50,000 keahlian baru parti itu yang berdaftar sebagai pengundi sebelum tahun 2016 berakhir pada 31 Disember nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Bahshah Md Hanipah berkata, UMNO Kedah sehingga tempoh ini telah berjaya mendaftar seramai lebih daripada 35,000 ahli baru parti yang berdaftar dari seluruh negeri.

"Untuk pengundi baru yang kita sudah daftarkan di Kedah, sudah lebih daripada 35,000.

"Jadi sasaran kita sehingga hujung tahun ini dalam 50,000 pendaftaran baru. Jadi kita ada bulan Oktober, November dan Disember, kita dok usaha lagi untuk memenuhi sasaran itu," katanya kepada Kedahnews.com, di sini, hari ini.

"Kita ada banyak nama-nama pengundi yang sudah cukup umur, tapi tak berdaftar sebagai pengundi. Senarai nama semua ada pada kita dan kita hantar kepada UMNO di bahagian-bahagian.

"Kita minta bahagian-bahagian ini supaya giatkan lagi ahli-ahli ini, bergerak untuk pastikan sekurang-kurangnya 50,000 ahli baru UMNO yang berdaftar sebagai pengundi menjelang hujung tahun ini," jelas beliau.

Ahmad Bashah mengulas mengenai jumlah terkini ahli yang baru menyertai UMNO dan mendaftar sebagai pengundi di seluruh negeri Kedah.

Menteri Besar berkata demikian sejurus selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Kerajaan Negeri yang berlangsung di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com