UM Perjelas Sebab Keluar Surat Tunjuk Sebab


KUALA LUMPUR – Universiti Malaya (UM) mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada empat orang pelajarnya bukan kerana mahu menyekat hak kebebasan mahasiswa, sebaliknya kerana mereka disiasat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UM, Prof Datuk Dr. Rohana Yusof berkata, empat pelajar terbabit, Anis Syafiqah Md Yusof; Muhamad Luqman Hakim Mohd Fazli; Suhail Wan Azhar; dan Muhamad Luqman Nul Haqim Zul Razali disiasat polis di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

“Kertas siasatan telah dibuka terhadap mereka di bawah Seksyen 9 (5) Akta Perhimpunan Aman 2012, Seksyen 124b dan Seksyen 505 b Kanun Keseksaan (KK).

“Menurut laporan PDRM, mereka terlibat dalam perhimpunan #Tangkap Malaysian Official 1 (#Tangkap MO1) pada 27 Ogos lalu yang tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Rohana berkata, perhimpunan itu menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 10 (c) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736) kerana setiap permohonan hendaklah disertakan bersama-sama dengan kebenaran tuan punya tempat.

Kata beliau, mengikut Kaedah 3(a)(i) Kaedah-Kaedah Universiti Malaya (Tatatertib Pelajar-pelajar) 1999, mereka didapati telah menjalankan urusan di luar kampus dalam cara yang merosakkan atau memudaratkan kepentingan, kesejahteraan dan nama baik universiti itu.

Justeru, katanya, surat tunjuk sebab telah dikeluarkan terhadap mereka untuk menjustifikasi tindakan yang telah dibuat oleh pelajar terbabit. -Kedahnews.com

No comments:

| Copyright © 2013 KedahNews.com